Tuesday, October 16, 2012

SELAMAT JALAN CINTA : BAB 1


Cinta itu sesuatu yang subjektif.  Sukar untuk diperkatakan.  Ada yang mencintai seseorang.  Ada yang dicintai seseorang. Tetapi adalah lebih perit apabila cinta itu dicurangi.  Kerana itulah yang sedang dialaminya sekarang ini.

Pagi tadi.  Ketika dia baru sahaja hendak melangkah masuk ke dalam bilik Mil Affandi.  Niatnya dihalang oleh setiausaha Mil Affandi yang manis bertudung itu.  Liza namanya.

“Cik Mya, saya rasa Cik Mya tak boleh masuk ke dalam bilik En. Mil sekarang,”  tegah setiausaha itu sambil berdiri dari kerusi dan bergegas berdiri di hadapannya sambil mendepangkan tangan. 

Mya Ayra mengerutkan dahi.  Terkejut.  Dengan tindakan spontan Liza itu.  Tidak pernah pun sebelum ini Liza menghalangnya dari memasuki bilik Mil Affandi bila-bila masa pun.  Pasti ada sesuatu yang tidak kena.  Hatinya mula berteka-teki sendiri.

“Kenapa dengan awak ni, Liza?  Selalu tak macam ni, hmm?”  Dia cuba memancing jawapan dari setiausaha tunangnya itu. 

Serba salah Liza dibuatnya.  Di dalam ada seorang perempuan.  Yang tidak pernah datang ke pejabat ini.  Dan gayanya seperti mesra benar bertepuk tampar.  Bergelak ketawa dengan bossnya itu ketika sama-sama mereka masuk ke pejabat itu tadi.

 Rasa seram sejuk pun ada. 

“Err...  ada tetamulah di dalam tu,”  dalam nada perlahan Liza cuba memberi alasan.  Yang agak logik difikirkannya.  Berpeluh jugalah dia dibuatnya dalam bilik yang berhawa dingin itu.  Seboleh-bolehnya dia tidak mahu tunang bossnya itu melihat apa yang ada di dalam bilik bossnya itu.  Memang akan perang dunia ke-tigalah jawabnya nanti.

Mya Ayra masih lagi tidak berpuas hati dengan jawapan itu.  Lantas segera meneruskan langkahnya dan menepis tangan setiausaha tunangnya itu.  Berlaku sedikit kekasaran.  Liza mengaduh kesakitan. 

“Maaf, Liza.  Kau kawan aku, tapi aku kena masuk jumpa Mil pagi-pagi begini sebelum kami bermesyuarat tengah hari nanti-“  sudah tidak ada lagi bahasa saya-awak dengan Liza.  Sambil melangkah ke hadapan pintu pejabat Mil Affandi, Mya terus memulaskan tombol pintu itu tanpa melihat intipati di dalamnya. 

Saat Mya Ayra berpaling, gelak tawa kecil berkumandang di cuping telinganya.  Membuatkan Mya Ayra terpaku melihat apa yang sedia terpampang di hadapan matanya kini. 

Bergetar seluruh tubuh tinggi lampainya bila melihat seorang perempuan sedang duduk di atas paha Mil Affandy.  Tangan gadis genit yang berbaju seksi paras lutut itu melengkari leher Mil Affandy.  Sedangkan dia sendiri tidak pernah melakukan hal itu pada Mil Affandy pun!  Apa hak gadis itu pada tunangnya?

Bibirnya sedikit terbuka.  Bergetar mahu mengeluarkan kata-kata.  Namun terkedu sambil terus melihat apa yang terhidang di hadapan mata. 

Tubuhnya bagaikan mahu melayah ke hadapan.  Bila kepalanya terasa berpusing-pusing di kala itu jua.  Dadanya berdebar kencang.  Laju.  Bagaikan roller coaster yang sedang bergerak selaju mungkin. 

“Mya???”  tersedar daun pintu biliknya ditolak, Mil Affandy segera melepaskan pelukannya dari pinggang gadis genit itu.  Gadis itu cepat-cepat dialihkan dari pahanya. 

Berkerut dahi gadis itu diperlakukan begitu.

“Heyy... kenapa dengan you ni?”  rungutan gadis genit itu tidak dihiraukannya. 

Pandangan gadis genit itu turut tertancap ke arah gadis bertudung ala Yuna yang masih lagi kaku di pintu masuk sana. 

“You bangun dulu, nanti I call you,hmm?”  bisik Mil Affandy sambil bangun dan memperbetulkan keadaannya.

“Siapa perempuan ni, Mil?”  soalan gadis itu tidak segera dijawab oleh Mil Affandy.  Malah lelaki itu lebih tergesa-gesa menolaknya keluar dari bilik itu. 

Mya Ayra memberi laluan pada gadis itu ditolak keluar dari pejabat lelaki itu.  Kalaulah ketika ini dapat dilihat betapa remuknya hati gadis yang bernama Mya Ayra bertaburan di atas carpet biru gelap itu. Sah-sah itulah cebisan-cebisan hatinya.  Tidak ada pemilik lain lagi. 

Saat gadis itu keluar dari bilik itu, Mil Affandy menutup pintu itu rapat-rapat.  Dia berpaling ke arah Mya Ayra.  Tunangnya dan bakal menantu kegemaran kedua orang tuanya itu.  Apakah alasan yang boleh diberikan setelah gadis itu sendiri menyaksikan segala-galanya sendiri?

“Mya... Mil-“  apa yang harus diperkatakan olehnya di saat-saat begini?  Dia sendiri telah kehilangan kata-kata.  Semuanya telah terbukti di hadapan mata gadis itu lagi.  Dia sudah terjerat sendiri.  Kalaulah Zira tidak mengikutnya naik ke pejabat pagi ini, tentu dia masih lagi dapat merahsiakan hubungan sulitnya dengan Zira selama ini.  Zira pun satu.  Bukan tidak boleh menunggunya sekejap di dalam kereta.  Dia cuma mahu naik sebentar ke atas pejabat untuk mengambil briefcasenya sahaja.  Sama sekali dia tidak menyangka Zira akan mengekorinya hingga ke pejabat.  Sepatutnya Zira menunggunya di dalam kereta.

Mya Ayra cuba mengukir senyum.  Yang anehnya tiada setitik pun air mata yang mengalir di pipinya.

“Malam tadi Mil ada dengan perempuan itukah?”  satu soalan yang pastinya akan mengubah segala-galanya.  Langsung Mya Ayra tidak memandang ke arah Mil Affandy pun.  Cuma pandangannya di hala ke arah hadapan sahaja dan bukan pada lelaki itu. 

Mil Affandy terkedu. 

Tanpa sebarang jawapan pun, Mya Ayra sudah dapat menelah.  Semakin luluh hatinya yang sudah sedia hancur berderai itu.

Mya Ayra tidak menangis.  Jauh sekali memujuk rayu.

Perlahan dia meraba cincin di jari manis tangan kirinya.   Dipulas-pulas seketika untuk melonggarkannya.  Kali ini dia menoleh ke arah lelaki itu.  Yang kelihatannya agak cemas dengan perlakuannya itu. 

“Mya... apa ni...”  lelaki itu sudah mula menggelisah.  Dahinya berkerut-kerut.  Apalagi tindakan yang akan diambil oleh tunangnya itu?  Dia tidak mahu meneka. 

Mya Ayra tidak mahu banyak bicara.  Baginya semuanya sudah terbukti.  Selama ini dia hanya mendengar sahaja tapi tanpa bukti yang nyata.  Cuma kali ini TUHAN Yang Maha Kaya itu mahu memberi petunjuk padanya.  Dan dia bersyukur sangat-sangat kerana itu.

“Nah.  You ambil balik cincin ini semula.  Antara kita, cukup setakat ini sahaja.”  Bukan semudah itu mahu menuturkannya namun itulah yang baru sahaja diluahkannya.

Dengan ayat terakhir itu, Mya Ayra menarik tangan kanan Mil Affandy dan membuka telapak tangan kanan lelaki itu.  Bagaikan diruntun dengan tali, Mil Affandy tidak membantah apa-apa.  Hanya menuruti sahaja.   Cincin belah rotan itu diletakkan di atas telapak tangan kanannya.  Mata mereka bertentangan seketika. 

Mil Affandy terkedu.  Putus kata-kata.

“Mya... Mil sebenarnya-“ Mya Ayra tidak menunggu lebih lama di hadapan lelaki itu.  Tanpa menunggu lebih lama lagi, dia melangkah keluar dari bilik lelaki itu. 

Anehnya perasaan ini bila dilukai sebegitu rupa.  Selama ini dia telah cuba mempertahankan hubungan ini.    Namun akhirnya hari ini segalanya berakhir begini.

“Mya... aku minta maaf-“  ketika dia melepasi meja Liza, dia hanya mengangkat tangan ke arah gadis itu.  Langsung tidak memandang ke arah gadis itu.  Cukuplah sekali dia dikhianati.  Dia tidak mahu memikirkan ada perempuan lain juga yang telah mengkhianatinya.

Gemuruh dadanya melihat tunang bossnya melepasi mejanya tanpa mengucapkan apa-apa padanya.  Sekurang-kurangnya dia mahu melihat kemarahan gadis itu diluahkan pada tempatnya.  Namun dia silap.  Gadis itu lebih tabah dari yang dijangkakannya.