Thursday, March 15, 2012

SAYANG SEKELIP MATA : BAB 1

BAB 1

Usai solat Zohor, aku cepat-cepat memakai tudungku semula sambil mengenakan mekap nipis ala kadarnya.
Walaupun aku tahu hukum bertabarruj itu adalah dilarang namun bagiku semua bergantung pada niat. Bukannya aku berniat untuk riak namun sekadar tidak nampak terlalu pucat. Itu sahaja.
Dalam masa yang tidak sampai 30 minit lagi mesyuarat pengurusan akan bermula dan aku harus bersegera memulakan tugasanku seperti biasa.
“Oh, dah dekat dengan waktu mesyuarat ni,” getus hati kecilku sambil terkocoh-kocoh keluar dari surau pejabat itu.
Seperti biasa hanya beberapa orang sahaja yang akan turut sama bersolat sebaik sahaja masuk waktu. Fenomena begitu sudah menjadi kebiasaan di mana-mana pejabat sekalipun. Lebih-lebih jika di firma-firma besar seperti ini yang kebanyakan dari pekerja-pekerjanya terdiri dari orang bukan Islam.
Aku hampir-hampir terlanggar dengan seseorang. Maliki. Anak bos besar di situ. Aku berselisih dengannya di muka lif bila mana lelaki itu keluar dari pintu lif itu manakala aku pula mahu memasuki lif yang sama.
“Oh, maaf En. Maliki. Saya tak nampak En. Maliki tadi. Salah saya,” aku menundukkan kepalaku memohon maaf di atas kekhilafan ku itu.
Lelaki itu hanya menarik nafas panjang.
“Safa. Boleh tak awak jangan panggil saya Encik?” dia tidak tahu sudah berapa kali dia mengingatkan gadis itu yang dia tidak senang dipanggil dengan panggilan begitu.
Matanya masih terpaku pada gadis di hadapannya itu. Mereka kini sedang berada di tengah-tengah pintu lif. Tangan kanannya menahan sebentar pintu lif dari tertutup.
Aku kelihatan agak serba salah.
“Encik Maliki. Encik kan anak majikan saya. Jadi saya rasa lebih bersesuaian kalau saya memanggil En. Maliki. Maaf. Saya perlu segera naik ke tingkat atas. Sekejap lagi ada mesyuarat, kan? Jangan terlewat pula. Kalau Tan Sri marah sebab Encik terlewat, jangan Encik salahkan saya pula, hmm?” aku melangkah masuk ke dalam lif itu dan lelaki melangkah keluar tanpa sepatah kata.
Hanya merenung gadis itu dengan hati yang agak panas. Dia tidak tahu bagaimana papanya boleh mengambil gadis itu bekerja dengan mereka.
Ketika itu dia tiada di ibu kota kerana menguruskan urusan di luar. Sebaik sahaja dia pulang, dia sudah mendapat tahu papanya sudah pun mengadakan temuduga dan telahpun mengambil keputusan untuk memilih pembantunya sendiri tanpa keputusan bersama dengannya.
Selalunya papanya akan mengambil kira terlebih dahulu akan pandangannya sebelum mengambil sesiapa bekerja di firma mereka. Tapi tidak kali ini.
“Papa rasa tidak salah kalau papa ambil gadis itu menjadi pembantu khas papa. Lagipun dia pernah belajar satu universiti dengan kamu, Mal. Tentu kamu akan kenal dia jika kamu bertemu dengannya di pejabat nanti,” dia sendiri hairan bagaimana papanya cepat sangat menemuduga calon itu tanpa kehadirannya apalagi tanpa persetujuan ataupun pandangan darinya terlebih dahulu.
“Tapi siapa namanya, Papa?”
Dia hanya mengetahui papanya mengambil Safa bekerja pada keesokan harinya dia berada di pejabat mereka. Hampir terkejut dia bila dia mendapati gadis itu tak lain dan tak bukan ialah Safa.

Lima tahun yang lalu

Di jalan yang menghadap ke padang bola.
“Hoi! Kalau iya pun nak mati, jangan berkhayal kat atas jalan macam ni!”
Bunyi hon kereta membingitkan telingaku. Aku berpaling ke arah belakang dan mendapati sebuah kereta BMW sedang membrek dengan kuat di belakang ku.
Cuma beberapa sentimeter sahaja lagi dari baju kurung bunga-bunga kecil berwarna merah ku akan mencium hujung bahagian hadapan kereta itu.
Serentak dengan itu, aku memejamkan mata sambil memeluk erat buku dan fail di tangan. Kalau nak mati hari ini pun, matilah. Aku sudah mengucap di dalam hati!
Bunyi brek kereta begitu mendecit telinga ku. Bagiku ketika itu dia sudah memikirkan ajal sudah hampir menjemput.
“ALLAH HU AKBAR!”
Sempat aku melaungkan kalimah suci ALLAH itu sebelum kereta itu berhenti betul-betul di hadapanku dengan membrek begitu kuat sekali dan bunyi pintu kereta dihempas kedengaran di cuping telingaku.
Aku hanya mampu berserah pada TUHAN kerana itu sahajalah yang mampu aku lakukan.
Hanya TUHAN sahajalah yang mampu menentukan ajal ku ketika itu. Mak, ampunkanlah dosa anakmu itu. Yang banyak berdosa padamu selama ini, mak.
Maut sudah menjemput aku sekarang ini.
“Hoi pompuan?! Dah lamakah kau hidup ni?!” suara kasar seorang budak lelaki membuatkan aku membuka sebelah mataku.
Aku menarik nafasku kembali. Tadi aku menahan nafas menunggu tubuh ku dilanggar dan impaknya sudah tentu akan membuatkan aku melayang dari bumi yang sedang kupijak ini.
Tapi belum sempat aku menghabiskan khayalanku itu. Zapp! Khayalanku mati begitu sahaja sebelum aku sendiri benar-benar mati!
Aku membuka mata. Tunduk melihat diri ku. Tidak ada apa-apa. Syukur Ya ALLAH. Bisik hatiku. Mahu tersenyum lega.
Tapi muka seorang anak muda yang merah padam sambil merenung ke arah ku. Agaknya kalau dia seekor singa, sudah pasti mahu menerkam dan membaham aku di kala itu. Niatku terhenti serta-merta. Urat-urat saraf pipiku tidak jadi berfungsi.
Namun mata budak lelaki yang bagaikan pedang bersinar-sinar itu masih lagi merenung tepat ke arahku.
“Mal. Sudahlah tu. Dia tak ada apa-apa. Kereta kau pun bukan langgar dia pun,” ujar seorang budak lelaki lain yang keluar dari bahagian hadapan penumpang kereta yang sama. Mungkin cuba menenangkan budak lelaki yang bermuka garang seperti singa itu agaknya. Kawan dia kot.
“A’aa.. lah, Mal. Jom. Budak perempuan tu tak ada apa-apa pun. Jom blah lah. Aku dah lapar ni,” ujar seorang lagi budak lelaki yang keluar dari arah belakang kereta yang sama.
Mata budak lelaki yang memandu kereta itu bagaikan mahu terjojol keluar. Nafasnya turun naik menandakan dia memang benar-benar marah dengan situasi beberapa saat tadi.
Kalau tidak kerana dia membrek dengan cepat sebaik sahaja dia keluar dari simpang tiga selekoh itu tadi, alamatnya nahaslah budak perempuan ini! Bentak hatinya lagi.
“Hoi pompuan! Kalau jalan tu, tengok-tengoklah ke atas sikit. Ni jalan macam nak ukur jalan sahaja!” ujar budak lelaki itu sambil mendengus marah di hadapanku.
Aku langsung tidak berani untuk bertentang mata dengan budak lelaki itu. Tidak berani untuk bersuara apa-apa.
“Mal... dah lah tu. Kesian dia. Nak cakap pun tak boleh dah tu.” Eh? Sejak bila pula aku dilanda sindrom bisu ni? Aku normal! Aku tak bisulah!
“Err... maafkan saya. Saya tak nampak kereta awak di selekoh tadi. Maaf ya.” Bagiku meminta maaf adalah cara yang terbaik untuk satu jalan penyelesaian yang mudah. Tapi nampaknya tidak semudah itu bagi budakl lelaki yang tinggi lampai macam pohon nyiur itu.
Budak lelaki itu memang tinggi lampai orangnya. Melepasi paras bahunya. Dia di paras dada budak lelaki itu. Hantu galah ke apa mamat sekor ni? Masih sempat lagi berfikir sampai ke tahap itu. Kalau galah memang iya. Kalau hantu pun lagi memang iya sebab garang betullah mamat sekor ni!
“Hah.. tengok. Budak tu dah pun minta maaf pada kau, Mal. Jomlah. Aku lapar ni. Nanti pukul dua aku ada kelas Management. Tak pasal-pasal Mr. Law halau aku dari kelas kalau aku lewat. Jomlah,” mohon salah seorang dari budak lelaki yang berada bersama-sama dengan pemandu kereta itu.
Aku memang berasa bersalah yang teramat sangat. Memang salah aku pun. Tergesa-gesa nak melintas. Tapi mamat tu pun salah juga.
Dari selekoh langsung pun tak berhenti untuk melihat ke kiri atau ke kanan. Kalau-kalau ada orang yang nak melintas ke apa ke terlebih dahulu sebelum hendak membelok.
Sangkaanku kereta itu akan berhenti terlebih dahulu buat beberapa ketika. Dan ini sudah tentu memberikan aku lebih masa untuk melintas ke seberang jalan.
Tapi tanggapanku agak meleset rupanya bila kereta itu langsung tidak berhenti di selekoh terlebih dahulu.
Maliki memandang ke arah kawan-kawannya. Sebelum memandang semula ke arah budak perempuan yang kelihatan takut dengannya itu. Cantik juga budak ni. Cute giler, sempat lagi hatinya berbisik begitu. Tapi macam lalok sahaja! Bentak hatinya lagi.
“Hmm. Tak mengapa. Nasib kereta saya tak apa-apa. Kalau jadi apa-apa tadi, awak kena bayar!” sergah Maliki lagi sambil menunjukkan hujung jari telunjuknya di hadapan muka gadis comel itu.
Aku memejamkan mataku seketika. Sambil menarik nafas panjang. Sabar sahajalah aku. Wah. Garang juga budak lelaki ni. Kemudian aku menundukkan kepal ku lagi.
“Saya dah minta maaf, okey?” aku membuka mata kembali sambil memandang ke arah kereta yang mahal itu sekilas lalu.
“Lagipun kereta awak tidak ada rosak di mana-mana pun.” Mujur juga aku tidak dilanggar. Jika tidak, tak tahulah apa yang akan terjadi pada ku sebentar tadi.
Hampir tergelak pun ada budak-budak lelaki yang turut ada dengan Maliki dengan gelagat budak perempuan yang hampir-hampir sahaja hendak dilanggar oleh kereta Maliki tadi.
“Hah, nasib tak ada apa-apa. Lain kali kalau kereta saya rosak sebab awak, nahas awak! Mengerti?” sergah Maliki lagi sambil menjengilkan matanya pada budak perempuan itu.
Marahnya beransur reda sebenarnya tapi sengaja dia bersikap begitu supaya dapat memberi amaran pada gadis itu. Itu sahaja.
Gadis itu mengangkat bahu.
“Okey. Terima kasih ya. Garangnya awak ni, “ budak perempuan itu kemudiannya memalingkan tubuhnya dari mereka dan berjalan melintas jalanraya sambil melihat ke kiri dan ke kanan kali ini.
Maliki dan dua orang kawannya hanya memerhati dari jauh.
“Hoi! Dah lah. Kalau nama perempuan cantik. Mata tu terjojol sahaja. Tadi buat-buat garang sangat! Haha,” sergah kawannya sambil menepuk bahunya menyedarkan dia semula.
Maliki masuk semula ke dalam kereta. Sambil bergerak perlahan melepasi budak perempuan yang sedang berjalan keluar dari kawasan kampus itu. Mesti hendak menunggu bas kampus yang sememangnya disediakan oleh pihak kampus menuju ke kawasan perumahan di Taman Lembah Bujang agaknya. Bisik hati kecil Maliki lagi. Di situ memang ramai budak-budak Semester 5 untuk pelajar perempuan menyewa di kawasan itu. Semuanya gara-gara kerana kekurangan asrama yang disediakan oleh pihak universiti.
Saban tahun, pelajar yang datang menuntut di universiti tersebut semakin bertambah. Namun penempatan pula terhad. Kerana itulah para pelajar senior terpaksa menyewa di luar. Di rumah-rumah sewa di taman-taman yang berdekatan.
Maliki tersenyum kecil sambil matanya menyoroti budak perempuan itu di cermin sisi di sebelah kiri keretanya.

Di pejabat Maliki. Lima tahun kemudiannya...

“Encik Maliki, ini fail Encik,” Maliki tersedar dari lamunannya bila mana sebuah fail dihulurkan padanya dari sebelah kanannya. Dia mendongak ke atas.
Aku hanya tersenyum sedikit padanya. Terpaksa senyum. Senyuman yang biasa-biasa sebelum aku bergerak ke arah kerusi ku di sisi Tan Sri Maulid.
Baru seminggu gadis itu bekerja di situ. Tidak banyak yang dia tahu mengenai ke mana menghilangnya gadis itu selama ini darinya. Lima tahun bukanlah satu masa yang singkat.
“Maliki, sila bentangkan kes yang sedang kamu kendalikan sekarang ini.”
Suara Tan Sri Maulid memenuhi ruang mesyuarat yang luas itu. Beberapa orang peguam kanan juga berada di dalam bilik yang sama. Hanya ada tiga orang sahaja peguam wanita termasuk aku di situ. Yang lainnya didominasi oleh lima orang peguam handalan di firma mereka.
“Safa.”
Usai mesyuarat itu, aku masih lagi berada di dalamnya bagi mengemaskan beberapa fail yang masih ada di atas meja bilik mesyurat itu.
Aku mendongak dan tidak ada sesiapa di situ melainkan aku dan Maliki.
“Ya, Encik Maliki,” aku sedar. Aku harus mengawal diriku sebaik mungkin.
Kenapalah aku tidak tahu firma awal-awal lagi yang firma ini adalah firma papa Maliki? Aku hanya mengetahuinya sebaik sahaja sudah memasuki bilik temuduga itu apabila dia melihat nama Tan Sri Maulid di pintu masuk pejabat bakal majikan ku itu sahaja. Tapi sudah terlambat untuk aku berpatah balik kerana aku memang benar-benar memerlukan pekerjaan ini.
“Safa. Nanti dulu. Dengar cakap abang ni.”
Sudah lama aku tidak mendengar lelaki itu membahasakan dirinya sebagai `abang’.
Dadaku serta merta terasa berdebar-debar. Semacam nak menangis pun ada. Entah mengapa aku berasa seperti itu.
Ketika aku mengetahui aku bekerja di firma Maliki, aku bagaikan mahu berhenti sahaja. Tapi mujurlah Farah ada. Dialah yang memujuk aku supaya terus bekerja sahaja di situ.
Aku tahu jika aku berada di situ lebih lama sudah tentu aku akan menangis.
Aku memalingkan muka ke arah lain. Entah mengapa hatiku dilanda rasa hiba. Kalau boleh aku mahu segera keluar dari bilik mesyuarat itu. Kalau perlu berlari dari situ. Tidak sanggup rasanya aku berhadapan bersendirian dengan lelaki itu.
“Safa! Abang cakap nanti dulu!”
Okey. Aku kena lari. Biar apa pun tanggapannya.
Kali ini aku tidak mahu berada lebih lama lagi di dalam bilik itu. Lebih-lebih lagi bila berdua-duaan dengan lelaki yang pernah bertakhta di hatiku satu masa dahulu.
Aku langsung tidak memperdulikan panggilan lelaki itu di belakangku. Laju sahaja aku melangkah keluar dari bilik mesyuarat itu dan tidak perasan langsung kelibat seseorang yang berjalan dari selekoh yang membelok ke arah pejabat-pejabat peguam yang lainnya.
“Safa? Are you okay?” suara seorang lelaki menegurku. Daniel . Teman baik Maliki yang saban hari bertandang ke pejabat ini.
Daniel menegurku. Membuatkan aku sudah terlambat untuk berhenti lagi.
Damm!
Habis berterabur fail-fail yang sedang kupegang itu ke lantai ketika terlanggar lelaki itu. Mujur juga aku tidak terjatuh sama ke lantai.
Daniel lebih cepat memegang kedua belah pergelangan lenganku untuk menghalang aku dari terjatuh. Henyakan tubuhku ke tubuh lelaki sasa itu membuatkan aku tergamam beberapa seketika. Cepat-cepat aku menolak dada lelaki Cina itu dariku. Malunya aku ketika itu sudah tidak terkira.
Ya ALLAH. Ampunkanlah hamba-MU ini. Aku tidak sengaja melanggar lelaki bukan muhrimku ini.
“Sorry Mr. Daniel ! Sorry... I tak nampak you tadi. I- ” berkali-kali aku memohon maaf dari lelaki Cina itu sambil memandang ke arah belakang.
Takut juga kalau-kalau Maliki mengekoriku. Namun lelaki itu tidak kelihatan pun.
“Sure, sure, tak mengapa. Kalau setiap hari pun tak mengapa you terlanggar I. I sanggup!” kenyitan mata lelaki Cina itu tidak bermakna apa-apa padaku walaupun aku tahu lelaki Cina itu hanya bergurau.
Lelaki Cina yang seiras dengan Stephen Chow itu kemudiannya membantu aku untuk bangun semula.
Aku hanya mahu segera berlalu dari situ sahaja. Tak lebih dari itu.
“I have to go. Really,” ujarku sambil tersenyum dan berlalu ke bilikku.
“Hey, Maliki? You dari mana ni?” Daniel hanya mengangkat bahu bila mana melihat gadis itu menghilangkan diri tanpa sempat dia berbual lebih lama dengannya.
Sejak seminggu gadis itu mula bekerja di situ, hampir setiap hari dia akan singgah di pejabat teman baiknya itu.
Dia hairan melihat lelaki itu kelihatan seperti tergesa-gesa apabila keluar dari arah bilik mesyuarat. Dahinya berkerut seketika. Tertanya-tanya juga dia kenapa teman baiknya itu berkeadaan demikian.
Maliki mengangkat mukanya. Melihat Daniel berada di situ, dia memperlahankan langkahnya.
“Ada you berselisih dengan Safa tak tadi?” dia tidak kisah jika Daniel ternampak Safa sebentar tadi.
“Dah masuk ke biliknya tadi. Kenapa Mal? You macam tergesa-gesa sahaja ni, hmm?” dia mula mengesyaki sesuatu telah berlaku namun ditepisnya segala tafsirannya itu.
Maliki mengurut lehernya. Berasa tidak selesa sebenarnya.
“Tak ada apa-apa. I terlupa sesuatu tadi. Rasanya Safa dah terambil ketika di dalam bilik mesyuarat tadi. Apapun, apa hal you datang ni, Daniel ? Dulu you tak pernah pun sekerap ini datang `melawat’ I, atau...you nak melawat siapa sebenarnya ni? Shasha kat luar itukah?” dia juga perasan sejak seminggu ini Daniel kerap datang ke firma ini.
Pasti ada yang menarik di sini sehingga temannya itu kerap datang ke situ. Lagipun dia meneka Shasha kerana penyambut tetamu mereka yang berbangsa Thionghua itu memang cantik dan seksi. Tidak ada lelaki yang tidak akan terliur melihat susuk tubuh gadis Cina itu.
“Eh, tak adalah. You ni, ada-ada sahajalah.” Cepat sahaja Daniel menepis usikannya itu.
“Sengaja I nak ajak you keluar makan. Tapi kalau ajak Safa sekali pun okey juga, kan?” Daniel mengenyitkan mata sambil menepuk-nepuk bahu temannya yang seorang itu.
“Nak keluar makan? Ermm... ajak Safa? Eh, you ni. Dia tentu sibuk selepas habis meeting tadi. Biarkanlah dia tu. Lain kali sahajalah kita ajak dia keluar dengan kita, okey?” hairan juga Maliki kerana bukan Shasha yang menjadi pilihan Daniel untuk diajak bersama mereka tetapi Safa!
Maliki melihat ke arah jam tangannya. Sudah pukul 12.00 tengah hari. Oh, dia terlupa sesuatu. Atau lebih tepat lagi seseorang.
“Oh tidak... I terlupalah. Aduhh... Macamanalah I boleh terlupa... I kena keluar makan dengan Nina. Jom, Daniel . Ikut kami.” ujar Maliki lagi sambil menepuk-nepuk dahinya berkali-kali. Itulah. Kerana mahu mengejar Safa tadi dia sudah terlupa yang dia ada temujanji dengan Nina, tunangannya itu. Anak Tan Sri Fizal itu sudah hampir setahun menjadi tunangannya dan mereka akan melangsungkan perkahwinan mereka yang gilang-gemilang itu pada hujung tahun ini nanti.
Namun dengan kehadiran semula Safa, hatinya mula berbelah bahagi.
“Hah, you memang nak cari pasallah, Mal...” sengih Daniel lagi. Dia sudah masak dengan perangai teman baiknya itu yang telah dikenali semenjak mereka belajar di UK tidak lama dahulu. Sekembalinya mereka ke Malaysia semula pun mereka tetap berkawan rapat. Jurang bangsa dan budaya mereka tidak pernah menjadi batu penghalang persahabatan mereka selama ini.
“I tahu, you mesti terlupa kalau you memikirkan perkara lain yang lebih penting, kan?” Maliki mengangkat bahu.
“Yaa... you know me well!” mereka sama-sama tergelak besar sambil melangkah ke arah lobi.
Ketika tiba di lobi hadapan firma Maulid & Co., semua mata tertumpu pada seseorang yang amat menjadi perhatian sesiapa sahaja yang memandangnya.
“Hai Nina!”
Gadis moden yang cantik itu melambai-lambai ke arah Daniel . Gadis itu melangkah dengan cepat ke arah mereka berdua sebaik sahaja melihat dua orang lelaki itu.
Gaun pendek yang dipakainya itu membuatkan beberapa mata memandang ke arahnya.
“Hi guys!” tersenyum lebar gadis itu bila melihat Maliki juga ada di situ. Dengan lincahnya dia bergegas mendapatkan tunang kesayangannya sambil memeluk bahu tunangnya itu dan memandang ke arah Maliki dengan riangnya.
“Darling, kita nak keluar makan kat mana ya tengah hari ini?” sengaja dia melentokkan kepala di bahu Maliki. Lelaki itu berlagak selamba. Tergelak Daniel melihat keadaan itu. Dia tahu, pasangan bahagia itu akan disatukan tidak lama lagi.
“Hmm... you pilih sahaja. Nanti kita sama-sama pergi, kan Daniel ?” ujar Maliki sambil merenung ke arah Daniel .
“Hai, Nina. You look beautiful!” lelaki Cina itu menyapa tunang temannya dengan penuh sopan.
“Hmm... kalaulah I boleh dapat girlfriend yang cantik macam you ni kan bagus?” kata-kata Daniel itu disambut dengan tawa riang oleh Nina. Dia tahu Daniel memujinya. Hatinya berbunga bahagia.
“Alaa.. Daniel . Shasha kan ada. Shasha pun cantik juga...” ujar Nina. Kemudiannya dia seperti mencari-cari seseorang.
“Tapikan, I dengar pembantu pada Tan Sri cantik orangnya. I pun tak pernah tengok lagi. Darling, kenapa you tak tunjuk pembantu Papa you pada I ni...” lirik Nina pada Maliki. Maliki mengangkat bahu.
“Okey... Fine. Jom I kenalkan Safa pada you. Daniel ? You nak tunggu di sini ke? I nak bawa Nina ke bilik Safa.” bagaikan orang yang mengantuk disorongkan bantal!

No comments: