Thursday, March 15, 2012

SAYANG SEKELIP MATA : BAB 2

BAB 2

Ketika mereka makan di kelab, Nina tidak banyak bercakap.
“Hai... selalunya you paling banyak cerita yang nak diceritakan. Kenapa pula you diam sahaja ni, hmm?” usik Daniel sambil menyuap nasi goreng kegemarannya.
Nina tersenyum sambil merenung ke arah Maliki dan Daniel . Dua sahabat baik itu saling berpandangan hairan.
“Hmm... bertudung. Tapi cantik sangat orangnya. Mengapa Papa you pilih dia, ek? Papa you nak buat kerja ke atau nak pandang dia sahaja?” tergelak kedua orang lelaki yang berada di hadapannya itu bila Nina menilai aku sebegitu rupa.
Alamak. Kenapa dia puji-puji aku ni? Ikhlas ke apa ni? Ah, pedulikan. Yang penting aku nak makan sekarang. Pagi tadi aku tidak sempat makan di rumah Farah. Aku hanya tersengih-sengih bila tiba-tiba aku menjadi topik perbualan mereka.
Nina mula membayangkan bagaimanakah agaknya pembantu yang dikatakan cantik oleh beberapa orang staf di situ. Memang cantik orangnya. Dia tidak menyangka dia akan berhadapan dengan gabungan pelakon-pelakon cantik tanahair iaitu Rozita Che Wan, Siti Nurhaliza dan Fauziah Ghouse itu. Badan yang cantik seperti Rozita Che Wan, wajah yang ayu seperti Siti Nurhaliza dan hidung yang mancung seperti Fauziah Ghouse. Dia sendiri pun terpana melihat kombinasi itu. Malah dia sendiri turut mengakui yang Safa memang gadis yang cantik dan begitu memukau sesiapa sahaja yang memandangnya walaupun dia sendiri sebagai seorang wanita.
“Hehe... you nilah, Nina. Ikut suka Tan Sri lah nak pilih siapa-siapa pun,” ujar Daniel tergelak kecil.
“Yelah. Tapi lawa sangat. Entah tahu ke tidak buat kerja.” cebik Nina lagi. Mula mempertikaikan kebolehan Safa tanpa memberi peluang untuk gadis itu membuktikannya terlebih dahulu. Dia mula merasa tidak senang dengan kehadiran orang baru di firma itu. Lebih-lebih lagi jika ada orang yang boleh menggugatnya di situ.
“Nina, jangan cakap macam tu. I dah tanya Papa. Dia ada semua kualiti yang Papa perlukan sebagai pembantu dia. Kalau you tak puas hati, esok you boleh tengok resume dia pada Pengurus Sumber Manusia di pejabat tu, hmm?” pujuk Maliki lagi. Dia sendiri tidak mengerti mengapa Nina perlu mempersoalkan kredibiliti Safa. Oh, dia hampir terlupa. Mungkin juga Nina cemburukan kecantikan Safa agaknya. Itulah lumrah perempuan. Tidak boleh ada orang lain yang lebih cantik dari mereka. Mungkin itu sebabnya. Dia tersenyum sendiri.
“Hah, senyum-senyum pula tu kenapa? I tak puas hatilah, Mal. Kenapa Papa you tak pilih sahaja lelaki sebagai pembantunya? Senanglah Papa you nak usung ke mana-mana pun siang dan malam. Ini tidak. Nanti kalau timbul skandal hah, siapa nak jawab?” duda seperti Tan Sri Maulid memang sudah lama menyendiri semenjak kematian Datin Sri Rahimah kira-kira 10 tahun yang lalu. Semenjak hari itu memang duda berusia 55 tahun itu tidak pernah berkahwin semula.
“Alahh... kalau dia kahwin dengan Tan Sri pun apa salahnya. Lagipun Safa kan janda juga. Hai.. siapalah bekas suami yang bodoh melepaskan isteri seperti Safa tu ya,” ujar Daniel memberi komen yang spontan seperti itu. Tersedak Maliki dibuatnya. Kalaulah mereka tahu siapa bekas suami Safa dahulu. Getus hatinya lagi. Berpura-pura seperti tidak ada apa-apa yang merunsingkan hatinya. Hah! Papanya dengan Safa? Jangan nak mimpi!
“Hmm.. tak mengapa. Esok I akan pergi jumpa Pengurus you tu. I nak tahu apa kelayakan dia sehingga Papa you boleh pilih dia, okey?” Maliki tahu, Nina akan melakukannya. Entahlah apa yang menyebabkan Nina mahu masuk campur tangan hingga begitu sekali. Tapi biarlah. Tak akan ke mana-mana pun walaupun tunangnya itu sanggup sampai hendak melakukan begitu sekali.
“Waahh.. hebatlah you ni, Nina! Takut I dengar!” tergelak Daniel mendengarnya. Dia hanya berfikir yang semua itu adalah gurauan semata-mata. Namun bagi Maliki ianya bukanlah satu gurauan kerana dia lebih kenal siapa Nina dari orang lain.
“Dahlah. Habiskan dulu makanan tu. I nak kena jumpa dengan Papa I selepas ni. Nanti bising pula orang tua tu,” memang dia tidak mahu papanya berleter lagi padanya. Ya leteran itulah yang sering memeningkan kepalanya.
Amboi. Sampai bila aku hendak panas telinga dengan hanya mendengar sahaja kredibiliti aku hendak dipertikaikan sebegitu rupa?
“Maafkan saya Cik Nina. Saya bukan tunggul sekadar mendengar apa yang Cik Nina tidak puas hati dengan saya sejak dari tadi. Apa pun pandangan Cik Nina tetap saya hormati. Saya hanya mencari sesuap nasi sahaja di firma Tan Sri. Kalau ada apa-apa yang Cik Nina tidak berpuas hati, saya minta maaf. Bukan salah saya dipilih untuk bekerja di sini.” Dia ingat aku ini apa sangat? Mentang-mentanglah dia tunang Maliki. Mentang-mentanglah dia bakal menantu Tan Sri. Dia ingat dia ada kuasa ke untuk tentukan kenapa aku dipilih oleh Tan Sri?
Manalah aku tahu yang aku akan dipilih sebagai pembantu Tan Sri Maulid dari puluhan calon temuduga yang lainnya pada hari itu. Kalau nak kira rupa, aku rasa ramai lagi yang lebih cantik dari aku. Ah, pedulikanlah. Bukan dia yang bayar gaji aku pun.
Terasa panas juga wajah Nina bila mendengar kata-kata gadis itu. Wah. Dah berani melawan walaupun baru masuk bekeja.
“Heyy! Biadap juga ya staf baru you ni, Mal?” dia mengecilkan mata. Nafasnya turun naik. Menahan marah. Bisa juga mulut staf baru ni. Bisik hatinya lagi. Tak mengapa. Dia tidak suka membuat hal di tempat yang ramai seperti itu.
Aku berhenti menyuapkan makanan yang sedang kumakan itu. Tak lalu lah pula bila melihat bakal isteri anak boss aku mula naik angin begitu. Bukan niat aku mengatakan apa yang aku katakan tadi untuk mempertahankan diriku juga. Mana boleh ada orang mahu mempertikaikan kebolehan aku. Tak adillah jika rupa aku yang menjadi pertaruhannya. Paras rupa aku ini adalah kurniaan TUHAN. Aku terima sahajalah. Kenapa pula harus dipertikaikan sama ada aku boleh buat kerja atau tidak?
Aku menoleh ke arah Daniel di sebelah ku. Merenung ke arah Maliki di hadapanku. Yang aku tahu pastinya hanya akan berpihak pada tunangnya sahaja. Kemudian berpaling ke arah gadis cantik itu. Yang masih lagi seperti tidak berpuas hati denganku sejak tadi.
“Cik Nina. Sekali lagi saya minta maaf jika kata-kata saya tadi mengguris hati Cik Nina,” aku sudah tidak selesa berada di dalam keadaan begitu. Seleraku juga telah mati. Lebih baik aku mengalah sahaja walaupun aku yakin yang aku langsung tidak bersalah.
Nina menoleh ke arah Maliki kemudian ke arah gadis di sebelah Daniel . Matanya terbeliak geram. Nafasnya turun naik kerana terlalu geram.
“Eee... dah lah! I dah tak berselera nak makan di sini. Jom, Mal! I nak baliklah!” bentak Nina lagi sambil menghempaskan sudu dan garpu yang dipegangnya ke pinggan. Beberapa mata berpaling ke arah meja mereka. Berbisik-bisik.
Daniel sudah faham dengan sikap kuat terasa dan kuat merajuk Nina itu. Entahlah bagaimana Maliki boleh bertahan hingga sekarang dengan tunangnya itu. Kalau dia, perempuan macam itu memang sudah lama ditinggalkannya. Tapi yalah. Tan Sri Maulid dan bapa Nina adalah dua rakan karib di dalam perniagaan ini. Dia tahu, Maliki seorang anak yang baik. Sentiasa menuruti kata papanya sendiri walaupun hatinya sering sahaja tidak bersependapat dengan papanya.
Maliki menghela nafas panjang. Susahnya dia kerana terpaksa menuruti apa sahaja kehendak tunangnya itu. Jika tidak teruklah dia dimarahi oleh papanya bila Nina mengadu pada papanya kelak. Dia menjeling ke arah Safa sebentar sebelum bangun.
“Jom.” Maliki tidak mahu mencari pasal. Dia menarik tangan Nina dan beredar segera dari situ.
Mujur juga aku dan Daniel datang berasingan dari mereka tadi.
Daniel tidak bangun mengikut jejak Maliki dan Nina. Aku terdiam sendiri.
“I dah buat salah ke, Mr. Daniel ?” termangu aku kali ini dibuatnya. Mengerutkan dahi. Tanda tidak faham.
Lelaki Cina itu tergelak mendengar soalanku itu.
“ Hmm... you baru sahaja mengenali perangai sebenar tunang Maliki...tapi tak mengapa. Dia tu cepat sejuk pun bila Maliki tu yang pujuk dia,” ujar lelaki itu.
“Alamak... yakah macam tu? Alaa... matilah I nanti.” Adakah aku telah membangunkan `naga’ ni? Minta-mintalah perkara itu dilupakan begitu sahaja. Bukan besar mana sangat pun.
Daniel tergelak dengan kata-kataku itu.
“Dahlah. Jangan bimbang apa-apa, okey. I kan ada. Kalau you kena buang kerja oleh Tan Sri pun bila-bila masa sahaja you boleh jadi assistant untuk I pula, hmm?” pandai jugalah mamat ni buat lawak. Yang aku sudah mula susah hati ni dia tak tahu! Mak oi. Bakal menantu Tan Sri jangan dibuat main-main. Di dalam hati aku berdoa agar perkara itu tidak berlanjutan. Biarlah habis setakat malam ini sahaja.

Kira-kira 5 tahun lalu...

“Maliki. Papa tak nak dengar apa-apa alasan lagi. Hujung bulan ni Papa akan hantar Mal ke UK. Papa nak kamu sambung buat Master di sana.” Maliki sedar, tidak ada siapa yang boleh menentang kata-kata Papanya itu. Tidak ada siapa walaupun aruah ibunya sendiri. Tapi kali ini Papa sudah benar-benar melampau. Mana mungkin dia hendak meninggalkan Safa dan terbang ke UK? Tapi terfikir juga dia untuk membawa isterinya itu bersama dengannya namun tidak ada siapa tahu mereka telah bernikah secara senyap-senyap beberapa bulan yang lalu.
“Tapi Pa... di sana kan jauh. Papa akan berseorangan di sini. Lagipun siapa yang akan tengok-tengokkan Papa kalau Papa sakit demam ke, hah?” satu alasan yang bodoh. Fikirnya kembali.
“Macamlah Papa kamu ni budak-budak kecil lagi. Sejak aruah ibu kamu-“ mengingat aruah isteri kesayangannya seringkali membuatkan hatinya sebak. Apalagi bila menyebut mengenai aruah. Tidak ada siapa yang dapat mengganti tempat isteri kesayangannya itu sehingga kini. Amanah aruah isterinya untuk menjaga anak tunggal mereka itu membuatkan dia membawa amanah itu sampai ke mati. Baginya yang penting ialah masa depan anak tunggalnya itu.
“...meninggal, Papa hanya mahu melakukan yang terbaik untuk kamu, Mal.” Tan Sri Maulid mendongak memandang anaknya kini. Kasih sayang yang melimpah ruah itu terasa semakin menebal di dadanya. Tidak sanggup rasanya dia mahu mensia-siakan masa hadapan anaknya itu dengan membiarkan anaknya belajar di dalam negara sahaja. Anaknya perlu juga belajar hidup bersendirian di negara orang. Bukannya universiti di dalam negara tidak bagus. Namun baginya pengalaman itu penting dan anak-anak muda sekarang tidak sedar akan hal itu lagi. Apa yang mereka pentingkan ialah keseronokan sahaja.
Maliki mengeluh berat. Dia perlu memikirkan cara yang lain pula untuk mengelak dari dihantar ke UK. Dia tidak boleh tinggal berjauhan dengan Safa. Tidak mungkin. Tapi itulah yang akan terjadi padanya nanti.
“Pa... apa kata kalau Mal belajar sahaja di dalam negara. Sama sahaja, Pa. Kalau nak sambung belajar di dalam negara pun, kualitinya pun sama sahajalah, Pa.” Dia mula membayangkan universiti di dalam negara yang tidak kurang dari segi kualitinya. Malah tidak berkemungkinan lebih baik lagi.
“Kalau kamu fikirkan tentang kualiti jangan nak berdolak dalih lagilah, Mal. Papa dah uruskan kamu tinggal dengan Aunty Lina kamu di sana. Tentu tidak menjadi masalah. Lagipun setahun bukannya lama. Pejam celik, pejam celik hah, dah setahun.” Aduhh.. dengan Aunty Lina? Baru sahaja dia sudah berkira-kira untuk membawa Safa secara sembunyi-sembunyi mengikutinya di sana. Kini harapannya sudah musnah. Dia sedar dia tidak boleh melanggar perintah Papanya kerana itu bukan caranya untuk berurusan dengan Papanya.
“UK? Jauh tu.”
Aku termenung apabila Maliki memaklumkan pada ku akan niat papanya itu. Adakah ini bermakna... Aku tidak mahu memikirkan apa yang terlintas di fikiran ku ketika ini.
“Ya.. Abang tak tahu nak cakap apa lagi, B...” Baby adalah panggilan manja Maliki pada ku. Lebih mesra katanya.
Sudahlah hubungan kami sebagai suami isteri terpaksa dirahsiakan dari kedua orang tua di dua belah pihak. Kini cabaran yang paling sukar telah tiba untuk kami. Aku merenung lama ke arah suami tercinta. Sebaknya di dada ketika itu hanya TUHAN sahaja yang tahu. Akhirnya dia akan meninggalkan aku juga.
“Mal...bagaimana dengan kita...”
Bukan mudah untuk dia melafazkan ayat cerai di bibirnya namun jika itu jalan yang terbaik untuk kehidupan mereka, itulah yang terpaksa dilakukan olehnya. Dia tidak mahu Safa menderita kerana meninggalkan isterinya itu walaupun isterinya itu sanggup menunggunya.
“Setahun tidak lama, Mal. Percayalah. B akan tetap menunggu Mal.” Sejak dari tadi aku menangis bila mendengar keputusan Maliki mahu menceraikan ku. Atas alasan yang paling bodoh yang pernah ku dengar. Untuk tidak menyiksa hidup ku. Apa kena mengena dengan menyiksa hidup ku dengan mahu menyambung pelajarannya seorang diri di UK? Payah-payah sangat aku juga boleh mengikutnya ke sana. Aku boleh melakukan pelbagai pekerjaan di sana selain daripada menyambung pelajaran juga di sana.
Maliki menggeleng.
“Tidak, B... macam-macam boleh terjadi selama itu. Percayalah. Kalau cinta antara kita kuat, kita akan bersatu semula. Kali ini dengan restu kedua orang tua.” Memang kami tidak mahu sesiapa pun mengetahui tentang pernikahan kami kerana kami masih lagi belajar ketika itu. Tidak semua ibu bapa yang mahu melihat anak-anak mereka terkandas di dalam pelajaran hanya kerana ingin mendirikan rumah tangga ketika belajar. Itulah yang menjadi igauan kami yang menghalang status kami didedahkan pada kedua belah keluarga.
Bukan mudah untuk sentiasa berusaha menyembunyikan status kami berdua dari kedua belah keluarga. Berbagai-bagai perkara yang sukar telah kami lalui bersama. Biarpun baru 3 bulan kami bernikah, namun kami tidak selalu dapat bersama. Kekangan masa belajar membuatkan dan pelbagai aktiviti di kampus membuatkan kami jarang dapat bersama seperti suami isteri yang lain.
“Tapi Mal, B takkan berubah. Cuma ada beberapa bulan sahaja sebelum kita tamat pengajian dan dapat mencari rumah dan pekerjaan. Kita akan sembunyi pernikahan kita ini sampai bila-bila kalau itu yang Mal mahu. Tapi, tolonglah Mal... janganlah ceraikan B. Tidakkah Mal cintakan B lagi? Tolonglah Mal... tolonglah,” sudah penat aku menangis memohon agar tidak diceraikan, namun entah apa yang telah merasuk ke dalam fikiran Maliki sehingga Maliki berfikir sesingkat itu.
Aku menarik-narik baju suami ku sambil melutut di hadapan suamiku. Tidak sanggup rasanya untuk aku berpisah dengannya sedangkan kami baru sahaja bernikah.
Namun permintaanku itu hanya sia-sia belaka. Maliki nekad mahu menceraikanku ketika itu.. Biarpun pernikahan mereka sendiri masih belum lagi didaftarkan di Malaysia ini, kini dia terpaksa memegang gelaran janda pula di usia yang terlalu muda.
Di pejabat, aku terduduk lama. Mungkinkah aku telah melakukan satu kesilapan yang amat besar bila bekerja di sini? Apakah ini salah satu ujian TUHAN terhadapku setelah lama kami berpisah sejak lima tahun yang lalu? Aku berjaya menamatkan pelajaranku dan meneruskan pengajian Master di dalam negeri. Duniaku hanyalah pelajaran. Selepas Maliki meninggalkanku, aku membawa diri dan tidak lagi mendengar apa-apa mengenai dirinya.
“Maliki tu dah gila ke apa tiba-tiba sahaja dia nak ceraikan kau?” aku tahu Farah akan bising-bising dan mengamuk bila mengetahui aku akan diceraikan oleh Maliki tidak lama lagi.
Aku yang sejak dari tadi melepak di biliknya di asrama hanya termenung sahaja bila bibinya seperti bertih jagung itu tidak habis-habis membebel, mengutuk dan memaki lelaki itu. Hanya aku sahaja yang mendiamkan diri. Termenung. Sebaik sahaja Maliki berpisah dengan ku di food court tadi, terasa tubuhku bagaikan tidak lagi berpijak di bumi yang nyata. Segalanya bagaikan mimpi belaka. Aku tidak tahu bila Maliki beredar dari situ. Lama juga aku mendiamkan diri. Bagaikan masih lagi tidak percaya yang Maliki mahu menceraikan aku. Begitu sahaja.
Aku bersandar seketika di dinding food court di situ. Termenung beberapa lama. Hinggalah aku perasan yang pelajar yang lalu lalang di situ semakin ramai berjalan melepasi ku. Sambil merenung aku semacam sahaja.
“Entahlah Farah....payah aku nak cakap pun sekarang ni.” aku masih lagi tidak percaya yang aku akan diceraikan oleh Maliki.
Farah mendengus geram.
“Cis! Lelaki macam tu memang pengecut. Memang tak tahu nak bertanggung jawab. Aku dah kata pada kau, Fa... dia bukan boleh dipercayai sangat...tapi kau tu ha, berdegil. Tak nak dengar. Sekarang tengoklah. Kau dah jadi macamana,” kasihan juga dia melihat keadaan gadis itu yang seperti ayam murung sahaja. Bagaikan tidak bermaya. Jauh termenung. Dia tidak menafikan jika dia sendiri berada di tempat gadis itu, sudah pasti dia akan mengalami keadaan yang sama. Siapa yang tidak sedih diceraikan sebegitu rupa?
“Hmm... biarlah Farah. Itu hak dia...” ujarku dalam nada perlahan.
“Oik kau ni lah, Fa. Kenapalah lembik sangat ni? Cepat mengalah ni kenapa, hah? Jom kita jumpa dia semula. Kali ni aku nak lepuk mamat sekor tu! Tak puas hati betullah dia buat kau macam ni. Time nak seronok. Time nak suka-suka je dia nakkan kau. Time lain, rasa kau tu tak penting pada dia lagi dah, dia buang kau! Hee...tak boleh lah aku dengan mamat yang macam ni!” Farah sudah naik hantu lagaknya. Berani betul dia hendak bertindak. Cuma aku sahaja yang memandang sepi niatnya itu.
“Farah... biarkan dia sahaja. Aku okey sahaja pun. Biarlah...” aku sudah malas untuk bercakap banyak sebenarnya. Tidak ada kesudahannya pun. Lagipun pernikahan kami di Siam pun belum didaftarkan lagi.
Farah duduk kembali di sebelahku. Mendengus geram. Tidak jadi untuk keluar dari bilik itu. Tapi dari riak wajahnya aku tahu dia masih lagi tidak berpuas hati dengan semua itu.
“Habis, kau nak buat apa sekarang?”
Aku terdiam. Tidak ada jawapan untuk soalan itu.
“Hmm... terpulanglah pada kau, Fa. Aku nak cakap pun tak tahu.”
Ya. Memang selepas dari hari itu, aku tidak lagi mahu bertemu dengan Maliki. Apa sahaja peluang yang ada untuk bertembung dengannya, cuba ku elak. Semuanya kerana aku tidak mahu lebih sedih dan terluka lebih dalam lagi.
Sebaik sahaja Daniel menghantar aku pulang, aku berjalan menuju ke kaunter resepsi. Shasha sudah pun ada di sana. Memang awal betul dia masuk kerja selepas jam dua. Mungkin kali ini dia tidak keluar makan tengah hari agaknya.
“Haa.. dah balik pun.” Shasha tersengih ke arahku sebaik sahaja aku melangkah ke dalam pejabat itu. Dia menjengah ke belakang ku. Kalau-kalau Daniel ada di belakang mengekoriku.
“Jangan susah-susah nak jenguk kat belakang aku...Daniel tak ada. Dia hantar aku sahaja kemudian terus pulang ke pejabatnya, okey?” aku dapat mengagak Shasha ada hati dengan lelaki Cina itu. Eloklah tu. Lagipun mereka sebangsa.
“Hehe... yeke. Hmm...kalau begitu tidak mengapalah. Tapi kenapa pula kau tak balik sekali dengan Cik Nina dan En. Maliki? Bukan kau orang keluar sekali ke?” berkerut dahi gadis Cina itu dibuatnya.
Perlukah aku menceritakan segalanya? Dalam sedang aku berfikir, aku bercerita serba ringkas padanya tentang kejadian sebentar tadi.
“Kau rasa dia marahkan akukah? Silap akukah dapat kerja kat sini? ”
Gadis Cina itu tersengih.
“Tak adalah. Siapa kata kau melakukan kesilapan yang besar? Okey sahaja aku tengok kau dapat kerja di firma guaman besar yang sebegini rupa.”
Shasha, teman sepejabat yang peramah itu semakin rapat dengan ku sejak dia masuk ke firma itu. Mungkin kerana aku masih baru, maka aku tidak begitu ramai mengenali staf-staf di situ. Kebanyakannya terdiri dari peguam-peguam yang kelihatan agak serius dan hanya keluar masuk ke dalam pejabat sebelum ke mahkamah masing-masing.
“Yalah.” Banyak lagi perkara yang Shasha tidak tahu mengenai diriku. Lagipun aku bukan jenis yang suka bercerita tentang seluruh kisah hidupku pun dengan orang lain. Lebih-lebih lagi dengan orang yang baru kukenali. Tapi sekurang-kurangnya Shasha mahu berkawan denganku. Lagipun aku memang memerlukan seseorang yang dapat menunjuk ajar tentang hal dan keadaan di dalam firma ini.
Petang itu selepas habis waktu pejabat, aku tidak terus pulang ke rumah Farah. Shasha mengajak aku lepak-lepak dahulu dengannya di sebuah cafe biasa di bangunan berdekatan. Sudah semestinya berbeza dengan pilihan peguam-peguam yang lainnya di dalam firma itu.
“Relakslah, Safa. Kau masih baru di sini. Banyak lagi perkara yang perlu kau belajar nanti. Ramai lagi orang yang belum kau kenal lagi. Hmm...selepas ini bila kau sudah diberikan tugas-tugas oleh Tan Sri, aku rasa kau tidak akan sempat untuk berfikir perkara yang lain pun selain dari kerja, kerja, kerja! Hah... itulah sahaja yang kau perlu risaukan nanti.” Panjang lebar juga penerangan dari teman baruku ini. Tempoh seminggu sudah hampir berlalu. Cepatnya masa berjalan.
“Hmm...aku harap-harap apa yang kau cakapkan ini betul,” ujarku dalam nada perlahan.
Keesokan harinya, Tan Sri Maulid memanggil ku melalui interkomnya.
“Safa, mari ke pejabat saya sekejap.”
Tiba di bilik Tan Sri Maulid, lelaki separuh umur itu mengadap ke muka tingkap. Membelakangi aku. Bila terdengar bunyi pintu masuk ditutup, Tan Sri berpaling mengadapku.
“Okey... malam ini saya mahu awak menemani saya untuk bertemu dengan klien terbesar kita untuk dinner di Hotel Rennaisance. Awak ada masalah tak?” terkedu aku seketika. Kalau aku hendak menolak, tak boleh pula. Pandangan ku jatuh ke lantai. Macamana ni.
“Errmm... tak. Tak ada, Tan Sri. Tapi perlukah saya menyediakan apa-apa kertas kerja untuk dibincangkan bersama dengan klien kita itu nanti?” kebiasaannya jika bertemu dengan klien yang besar tentunya ia mengenai urusan kerja.
Tan Sri Maulid hanya tergelak kecil. Menggeleng.
“Tak... Tak semestinya. Klien kita ni hanya mahu saya keluar dinner sahaja dengan mereka. Yalah. Untuk urusan biasa-biasa sahaja. Jadi saya mahu bawa awak kerana awakkan pembantu saya. Di masa akan datang kita akan lebih banyak berurusan dengan mereka dan saya mahu awak berkenal-kenalan dengan mereka. Itu sahaja. Boleh, kan?” memang itu akan menjadi tugasku. Akhirnya dia mengangguk. Tidak ada alasan untuk dia menolak pun. Lagipun semuanya kerana urusan kerja juga. Maka mulai malam ini akan bermulalah tugasnya di luar daripada waktu pejabat. Itulah yang ditegaskan oleh Tan Sri Rizlan semasa dia ditemuduga pada hari itu.
“Okey, bagus. Malam ini saya akan suruh driver saya pergi jemput awak. Pukul 8.00?”
Sebaik sahaja menutup pintu Tan Sri Rizlan, aku segera mendapatkan Shasha.
“Shasha, kali ini kau kena tolong aku. Aku tak biasa kerja dengan orang macam Tan Sri ni. Dia dah suruh aku escort dia untuk berkenalan dengan klien terbesar firma kita. Itu katanya. Tapi apa yang aku harus pakai malam ni?” aku memandang kepada Shasha dengan wajah yang resah.
“Haa... itu tak menjadi hal. Tapi kau dengan Tan Sri sahaja ke?” aku mengangkat bahu.
“Entah. Tapi dia suruh aku bersiap-siap tepat jam 8.00. Selalunya siapa yang akan pergi sama dengan Tan Sri ya sebelum aku bekerja di sini?” kedengaran seperti satu soalan yang bodoh juga bila difikir-fikirkan semula.
Kereta Mercedes CLK 2000 itu menjalar di luar perkarangan rumah Farah. Tepat pada waktunya.
Memang selama ini pun tidak pernah ada kereta mewah yang menjemputku dari perkarangan rumah Farah pun.
“Wahh... bertuahlah kau, Fa. Ada driver jemput!” jeritan dari arah tingkap rumah sewa kos sederhana itu membingitkan telinganya. Harap-harap driver Tan Sri tidak akan mendengarnya. Kalau tidak malunya dia kerana tidak dapat Farah dan Ikram juga anak-anak mereka ini.
“Ala. Driver. Bukan boyfriend pun,” ujarku sambil memakai kasut tinggi di ruang tamu rumah itu.
“Tapi Merc, babe! Kau gila ke apa?!” jerit Farah. Temannya itu pula yang menjerit keriangan padahal aku tidak merasakan apa-apa yang mengujakan pun.
“Hmm...tak payah tunggu aku. Aku pun tak tahu aku akan balik pukul berapa,” ujarku sambil keluar dari rumah itu.
Ketika aku menjengah masuk di tempat duduk sebelah pemandu, aku menyangka mesti pemandu Tan Sri yang memandu kereta itu. Namun sangkaanku meleset sama sekali.
Maliki!
“Ehh...mana Pak Din?” Ini sudah semestinya satu kesilapan! Aku sudah berkira-kira untuk keluar balik dari kereta itu tapi agak terlambat kerana tanganku ditarik semula oleh Maliki ke dalam. Menyebabkan aku kembali terhenyak ke dalam kereta itu semula. Terantuk sedikit hujung atas kepalaku ke bahagian atas kereta itu. Aduhh. Sakitnya bukan kepalang. Nak rasa macam pening-pening pun ada. Aku menggosok-gosok tempat yang sakit itu beberapa kali.
“Hai, B. Maaf. I jadi driver bidan terjun malam ni. Pak Din sakit perut. Dia tak dapat datang jemput you. Jadi I yang Papa suruh jemput you.Jadi you jangan bimbang, B. I takkan bertindak memalukan you, okey?” ujar Maliki sambil membelok keluar dari hadapan rumah Farah itu. Aku hanya mendiamkan diri dan berharap tidak akan ada perkara yang tidak elok terjadi padaku nanti. Harap-harap macam tulah. Menarik muka empat belas.
Aku berkira-kira sendiri. Aku mencebikkan bibirku sambil memandang ke luar tingkap. Hanya kerana tugas, terpaksa juga aku menaiki kereta itu.
“Jangan panggil I, B. I bukan lagi isteri you. Faham tak ni?” aku tidak mahu orang lain tahu tentang hubungan yang pernah termeteri di antara kami dulu. Apalagi dalam keadaan sekarang ini. Aku seperti sudah masuk ke dalam kandang harimau pula. Memang aku tidak menyangka sama sekali yang aku akan bertemu semula dengan bekas suamiku itu. Bukan sekadar bekas suamiku sahaja. Malah dengan bapa bekas suamiku yang tidak pernah aku tidak pernah berpeluang untuk mengenalinya.
Cuma kali inilah sahaja aku dapat cuba mengenali bekas bapa mertuaku itu. Itupun kerana takdir yang menemukan aku dengan mereka ini semula. Selama lima tahun lalu, tidak pernahpun terlintas di fikiranku yang aku akan bertemu semula dengan bekas suami dan bapa mertuaku ini. Inilah yang dinamakan takdir.
Aku redha dengan takdir seperti ini. Tapi yalah. Aku juga harus keluar dari takdir ini. Kerana tidak ada apa lagi untuk aku terlibat di dalamnya. Aku bukan lagi isteri Maliki dan juga bukan lagi menantu keluarga ini.
“I tak mahu orang lain tahu kita pernah menjadi suami isteri satu ketika dulu. Perkara itu dah berlalu dan I tak mahu cakap apa-apa lagi tentang hal itu, boleh tak?” Adalah lebih baik aku membuka mulut dengan menyuarakan pendirianku terlebih dahulu daripada lelaki itu menuntut bermacam-macam perkara yang tidak masuk dek akal!
Maliki terdiam seketika sebaik sahaja mendengar permintaanku.
“I nak tanya satu sahaja. Kenapa you datang bekerja di firma Papa I kalau you bukan mencari I?”
Aku berpaling ke arahnya. Membeliakkan matanya. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang baru sahaja kudengari itu. Mahu terlopong aku dibuatnya dengan pernyataan sebegitu.
“Heh? Tolonglah! Siapa yang mencari you ni? I dah lupakan you tau. Full stop.”
Sejak hari aku diceraikan, aku terlalu menderita. Namun aku bangun kembali setelah menyedari tidak ada sesiapa yang akan menjaga diriku jika aku terus menerus meratapi pemergian lelaki durjana seperti itu!
“Wah. You dah sombong ya. Sejak bila pula you berubah ni, hmm? Dulu you tak macam ni, B...”
“Dulu sebab I bodoh. Safa yang dulu sudah `mati’, okey. Sudah terkubur dengan semua kenangan yang tak perlu diungkit-ungkitkan lagi. Dahlah, En. Maliki. I bukan Safa yang pernah you kenal dulu.” Bodoh sebab terlalu menurut kata hati remaja! Baginya dulu cinta pada manusia adalah segala-galanya. Aku pernah tewas dalam percaturan hidupku dek kerana seorang lelaki yang bernama Maliki. Namun tidak lagi sekarang. Aku sudah menemui cinta yang abadi. Iaitu pada TUHAN. Hanya cinta pada ALLAH SWT adalah yang kekal abadi.
Maliki terdiam seketika.
“B... tak mengapa kalau B nak marah-marahkan Abang. Abang tahu Abang bersalah. Tapi ketika itu...,” dia sedar biar apa pun alasan yang bakal diberikannya, pasti gadis itu tidak akan dapat menerimanya.
“Ingat En. Maliki. Jangan panggil saya B. Saya bukan lagi isteri awak. Dan tidak pernah akan kembali semula kepada awak jika itu yang terlintas di hati awak. Saya tidak tahu yang firma ini firma Papa awak. Kalau saya tahu, awal-awal lagi saya tidak memohon pekerjaan di situ. Mengerti?”
Sudah terlambat untuk berundur pada hari itu kerana sebaik sahaja aku melangkah, aku melihat nama Tan Sri Maulid dan aku sempat bertanya pada penyambut tetamu di situ jika Tan Sri Maulid itu adalah orang yang sama. Dengan nama bekas bapa mertuaku. Memang ya. Ketika itu juga aku sudah berkira-kira untuk melangkah pergi sahaja pada hari pertama aku mengetahui akan perkara itu. Tapi sudah terlambat untuk aku melangkah pergi kerana pada masa yang sama Tan Sri Maulid kebetulannya baru sahaja melangkah masuk ke dalam pejabat itu dan aku terserempak dengannya.
Maliki tersenyum sinis.
“Abang tetap sayangkan B, itu yang Abang tahu dan itu yang Abang mahu B mengerti, okey? Dah, dah. Abang tak nak bergaduh dengan B lagi. Perkara silam antara kita dulu Abang harap B akan maafkan Abang. Kita bina semula apa yang pernah kita bina dahulu, hmm?” secara spontan Maliki menyentuh tanganku. Sepantas kilat itu juga aku menarik tanganku dengan penuh rasa meluat!
“Heyy...! Maaf ya! Jangan En.Maliki ingat saya akan termakan dengan kata-kata En.Maliki itu. Kalau dulu, bolehlah Encik gula-gulakan saya. Sekarang saya bukan Safa yang dulu lagi!” bentakku seakan separuh menjerit. Sudah tidak ada kesopananku terhadap lelaki ini lagi. Kalau dulu dia boleh berlaku kurang ajar dengan aku, kenapa sekarang aku tidak boleh bertindak perkara yang sama juga? Bentak hatiku Safa lagi. Bencinya aku!
Mengapalah malam ini aku harus berhadapan dengan situasi yang tidak menyenangkan seperti itu? Kalaulah aku tahu aku akan `terperangkap’ di dalam situasi begini, mungkin aku akan membuat helah untuk tidak keluar pada malam ini.
Maliki agak terkejut juga dengan nada suara gadis itu. Tidak pernah lagi dia mendengar gadis itu menengkingnya begitu. Safa yang dulu dikenalinya amat bersopan santun orangnya. Dan dia sendiri lebur dengan kelembutan dan kecantikan Safa suatu ketika dahulu. Walaupun dia sedar dia telah melakukan kesilapan yang amat besar dahulu, tapi ketika itu dia masih lagi di peringkat akhir remaja. Dia dan Safa hanya memikirkan yang mereka mesti hidup berdua. Walau apa sekalipun rintangan yang ada, mereka tetap harus bersatu. Kerana itu jugalah mereka lari dan bernikah di Siam tanpa memaklumkan pada kedua belah pihak orang tua mereka terlebih dahulu. Yang penting bagi mereka ialah mereka dapat bersama. Sehidup semati.
Namun semua itu hanya tinggal angan-angan belaka kerana mereka hanya dapat mengecapi kebahagiaan sebagai suami isteri hanya seketika sahaja. Papa Maliki yang selama ini yang menjadi penentu segala-galanya tentang kehidupan anak lelaki tunggalnya itu sama sekali tidak menyangka bahawa keputusannya untuk menghantar Maliki ke UK telah memisahkan mereka berdua.
Tidak ada siapa tahu mereka berpisah secara diam-diam dan mereka kemudiannya mengambil jalan hidup masing-masing selepas itu. Dan 5 tahun bukanlah satu masa yang sekejap.
“B, please... Abang masih sayangkan B... Cuma B tahukan ketika tu...kenapa Abang terpaksa mengambil keputusan seperti itu...,” aku tahu Maliki cuba memujuk aku. Itu Safa yang dulu. Sekarang Safa yang sekarang lebih kuat dari segala-galanya. Lebih dari tunggul kayu! Keras. Tidak boleh diganggu gugat lagi. Namun kali ini aku tidak akan termakan lagi dengan kata-kata manis lelaki itu. Habis madu, sepah dibuang!
“En. Maliki. Saya tidak mahu dengar apa-apa alasan dari En. Maliki lagi, okey? Malam ni saya harap Encik tidak akan tersasul memanggil saya dengan panggilan B, faham? Jika orang lain tahu kita pernah bernikah, saya akan berhenti 24 jam, mengerti?!” kali ini aku terpaksa mengugut begitu. Jika tidak aku tidak tahu apa lagi yang akan berlaku padanya pada malam ini dan hari-hari yang seterusnya.
Maliki hanya mendiamkan diri. Nampaknya dia terpaksa mengalah dulu. Mengalah tidak bererti beralah.

1 comment:

chenta_arfa said...

i love your work sis...nak beli buku akak..sebagai pemberi semangat